Keesokan harinya, suasana di rumah seperti biasa, riuh rendah sahaja. Aku awal-awal pagi lagi dah keluar ikut nenek ke belakang rumah untuk mengutip telur-telur itik di kandang itik. Aku memang suka kerja ni. Masa tu langit masih malap, matahari masih belum keluar sepenuhnya lagi. Maklumlah baru lepas subuh. Disebabkan keadaan yang kurang cerah itu, telur-telur itik akan mudah kelihatan kerana kontra warna putihnya yang mudah dibezakan dengan warna tanah yang masih gelap. Asal aku ternampak objek-objek yang berwarna putih, aku terus berlari kutip. Itik-itik di kat kandang ni jenis yang bertelur, jadi mereka akan bertelur setiap hari dan bilangan telur yang dikeluarkan daripada seekor, aku masih tidak pasti. Tapi yang pasti, aku memang selalu dapat kutip dengan banyak sekali. Memang terasa berat baldi tu apabila aku angkat pulang naik ke rumah.
Setelah siap bersarapan, Tok Tam dan keluarganya pun mula bersiap-siap untuk berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Jadi, seperti yang dijanjikan, Tok Tam memanggil aku sekali lagi ke bilik ruang tamu. Kali ni aku sudah bersedia. Aku letakkan tumpuan aku sepenuhnya dengan apa yang Tok Tam cuba sampaikan dalam masa yang singkat tu.
Tok Tam mulakan. . .
" Catur ini merupakan sebuah permainan strategy. Catur merupakan permainan perang yang perlukan daya pemikiran dan bukan pada daya kekuatan. Sedangkan pawn yang kecil ni pun sebenarnya begitu berkuasa kalau kita pandai rancang permainan kita. Ada beberapa gerakan yang kita boleh suaikan dengan permainan kita. Tapi Tok Tam selalu gunakan taktik deffensive dan kaji perlahan-lahan pihak lawan kita dan menyerang kemudian. Papan catur ini merupakan medan perang dalam peperangan. Kawasan yang paling kita perlu jaga adalah di kawasan d4, d5, e4, e5. Itu level petak pertama yang paling penting. Kemudian, petak kedua pula adalah kotak yang mengelilingi petak pertama dan seterusnya yang ketiga dan begitu juga yang keempat.
konfigurasi papan catur |
( kemudian Tok Tam menyusun buah-buah catur seakan-akan suatu corak )
Ini step-step yang Tok Tam gunakan. Pertahanan cukup kuat sehinggakan pihak lawan langsung tidak berpeluang untuk serang, melainkan dengan pengorbanan. Ingat, setiap kemenangan selalunya perlukan pengorbanan dan pastikan pengorbanan kita itu benar-benar berbaloi. Setiap, anak-anak buah catur ini begitu penting nilainya. Jangan sia-siakan setiap satu pun.
Dan, satu lagi perlu ingat pesan Tok Tam ni. Dalam setiap perlawanan catur ini, kita perlu fikir 3 step ini ; apa yang kita akan gerak, kemudian apa kemungkinan pihak lawan akan gerak, dan apa pula yang akan kita gerak selepas itu. Ambillah masa untuk berfikir. Sentiasa jauhkan daya pemikiran dan tajamkan naluri kita. "
Kemudian, Tok Tam dan keluarganya pun mula berangkat pulang. Pesan Tok Tam masih bermain-main di fikiran. Dalam masa yang singkat tu, aku cuba memahami setiap patah kata yang Tok Tam sebut. Aku masih tidak faham. Maklumlah, aku masih budak lagi ketika itu. Masih pun duduk di saf solat belakang di saf kanak-kanak.
Sehinggalah malamnya itu, aku mengajak Mak Ndak untuk bermain satu pusingan perlawanan catur dengan aku. Aku cuba menggunakan seluruh kefahaman aku pada pesan Tok Tam siang tadi. Satu-satu anak buah aku gerakkan mengikut corak susunan anak buah yang Tok Tam tunjukkan. Dan ianya mengejutkan aku, corak permainan yang Tok Tam tunjukkan itu sungguh mudah dan amat praktikal untuk digunakan. Maksud aku praktikal, ianya memudahkan aku untuk mengetahui gerakan-gerakan yang Mak Ndak akan gerakkan. Ianya seperti sentiasa membawa Mak Ndak ke setiap-setiap perangkap yang aku rancangkan. Wahh, hebatnya. Dan pada malam itu, aku telah berturut-turut mengalahkan Mak Ndak dan Ayah Teh.
Keesokan harinya, suasana masih sama lagi seperti hari-hari yang sebelumnya. Rumah sentiasa berada dalam keadaan riuh rendah. Raya pada tahun itu memang menggembirakan. Oleh kerana aku masih kanak-kanak, aku telah peroleh duit raya yang agak banyak juga hasil usaha aku, adik-adik dan Makcu dan Ayah Cik yang rajin melawat dari rumah ke rumah. Tetapi keadaan itu hanya untuk seketika sahaja. Cuti sekolahpun sudah hampir habis. Dalam beberapa jam lagi, aku dan keluarga akan mulakan langkah pulang ke Kuala Lumpur semula.
Seperti kebiasaannya, seluruh ahli keluarga aku kat rumah tu akan menyambut pergi setiap ahli keluarga yang akan pergi pulang semula ke rumah masing-masing. Aku sebagai orang yang lebih muda, aku akan berjalan ke setiap orang untuk bersalaman. Nenek dan atuk amat suka mencium cucunya samaada ketika datang ke kampung mahupun ketika pulang ke kampung. Kadang-kadang aku rasa ianya agak menggelikan dan memalukan, tetapi aku suka. Lebih-lebih lagi ketika digeselkan muka aku dengan janggut dan jambang atuk, walaupun agak kasar tetapi ianya menyeronokkan.
Akhirnya, kereta Proton Iswara putih itupun mula bergerak keluar dari pagar rumah. Aku selalunya akan membuka tingkap kereta dan berdiri keluar sambil membalas lambaian orang-orang dari rumah tu sehinggalah mereka tidak kelihatan lagi. Perjalanan untuk pulang ke Kuala Lumpur mengambil masa dalam kira-kira 4jam mengikut laluan Lebuhraya Timut-barat. Pada masa ini, aku selalunya akan meluangkan masa untuk tidur sahaja di dalam kereta sehinggalah sampai ke rumah.
Hari demi hari berlalu, aku telah semakin membiasakan diri dengan corak permainan yang Tok Tam ajarkan dulu. Tetapi aku masih tidak berpuas hati. Sebab dengan cara ni aku hanya dapat mengalah kawan-kawan aku yang sebaya dengan aku sahaja. Aku masih tidak dapat mengalahkan dengan orang yang lebih dewasa. Aku hairan. Apa aku masih belum faham sepenuhnya ke dengan pesan Tok Tam tu?
* * *
31 Disember 2003 . . .
snapshot langit di kota belud |
Pada siang itu, aku masih bermain-main dengan kawan-kawan aku di sekitar kawasan tempat letak kereta kawasan perumahan Taman Melati itu. Walaupun, orang di rumah aku sedang sibuk mengemaskan rumah, aku masih meluangkan masa dengan kawan-kawan aku. Pada masa itu, aku tidak pernah terfikir langsung bahawa saat-saat itu merupakan saat-saat terakhir aku berjumpa dengan mereka. Aku leka bermain, bermain, dan terus bermain.
Sehinggalah tiba-tiba sebuah kereta Proton Iswara Putih datang dan berhenti di tepi jalan tidak jauh dari tempat aku bermain di situ. Abah memanggil aku untuk masuk ke dalam kereta dan katanya mahu ke rumah Mak Long. Tanpa memberikan sebarang kata pisah, aku terus masuk ke dalam kereta dan melambai kepada kawan-kawan aku seolah-olah hari esok aku masih akan bermain dengan mereka. Aku masih ingat, Along, Rasyid, Atiqah, Wawa, Nana dan adik kecil kepada Rasyid yang aku kurang ingat namanya tersenyum membalas lambaian aku.
Kami singgah sekejap sahaja di rumah Mak Long untuk menghantar barang. Dan mak hanya pesan kepada Mak Long yang kami akan bertolak ke sana dalam pukul 9 malam. Kemudian kami teruskan perjalanan ke arah yang aku tidak pernah pergi sebelum ini. Aku tertanya-tanya pada diri, apa maksud mak yang kami akan bertolak dalam pukul 9 tu ? Lagipun bertolak ke mana ?
Kemudian, mak bercakap yang kita akan ke KLIA dan akan terbang pukul 9 malam nanti. Nanti kat KLIA tu akan dipenuhi ramai orang, jadi jangan lepas tangan nanti jadi macam cerita Home Alone pula tertinggal kapal terbang, mak cuba bergurau ketika suasana sedang diam di dalam kereta itu. Aku terkejut. KLIA ? Kapal terbang ? Aku benar-benar terlupa bahawa hari ini merupakan hari terakhir aku di sini. Along. Ya, aku masih belum sempat ucapkan selamat tinggal dengan Along. Dan mereka pun sangka yang aku akan mula berpindah pada minggu depan.
Kemudian, aku menangis. Aku suruh abah patah balik semula ke rumah. Aku masih belum ucapkan selamat tinggal dengan kawan-kawan aku di sana. Aku meraung-raung memaksan abah untuk berpatah balik. Tapi mak cuba memujuk aku dan cakap yang kita akan balik ke situ lagi setiap kali cuti akhir tahun. Aku masih berdegil dan terus menguatkan tangisan aku. Sehinggalah perlahan-lahan aku tidak sedarkan diri.
Aku menangis sehingga tertidur. . .
Aku telahpun berada di hadapan pintu masuk di KLIA. Itu merupakan kali pertama aku berada di situ. Dan kali pertama juga melihat kapal terbang sebenar di hadapan mata. Selalunya aku cuma melihat di kaca TV ataupun jauh terbang di atas langit sahaja. Tapi kali ini, ianya benar-benar di hadapan mata aku, dan pada hari itu juga merupakan pertama kalinya aku menaiki kapal terbang.
Tapi perasaan teruja itu masih belum cukup untuk memujuk kesedihan aku ketika itu. Aku masih menangis tetapi kali ini di dalam hati. Aku masih tidak sampai hati untuk melepaskan tanah kelahiran aku di sini. Tanah inilah tempat di mana aku telah membesar dan berjumpa dengan manusia-manusia yang membuat baik dengan aku.
Apabila sejam sebelum penerbangan, kelihatan Mak Teh dan sekeluarga pun turut datang untuk menjemput kami pergi. Ini di luar pengetahuan aku. Tidak hanya Mak Teh dan keluarganya, rupa-rupanya saudara mara aku yang lain pun turut hadir menjemput kami pergi. Dan aku terkejut, nenek pun turut datang bersama jauh dari Pekan ke sini semata-mata untuk menjemput kami pergi. Suasana menjadi riuh rendah dengan kehadiran mereka. Kami dikelilingi oleh saudara mara, makan bersama ketawa bersama.
Sehinggalah tiba waktunya. Penumpang-penumpang pesawat yang akan bertolak ke destinasi yang akan kami pergi dipanggil oleh kakitangan urusetia KLIA. Keadaan yang riuh rendah tadi kini mula berubah. Keadaan kini semakin sunyi dan suasana menjadi semakin hiba bila nenek mula menangis. Dan diikuti juga dengan makcik-makcik aku yang lain. Satu-satu datang memeluk kami dan memberikan kata-kata harapan kepada kami yang akan mula berjauhan selepas ini. Nenek merupakan orang terakhir yang memeluk aku ketika itu. Aku tak sangka, akhirnya aku tidak berdaya untuk menahan kesedihan aku jua. Tangisan yang sejak dari awalnya aku tahan dalam hati, kini telah pun kelihatan jelas pada wajah aku. Aku peluk nenek seerat-eratnya sambil menangis.
Kini tibalah waktunya untuk kami mulakan langkah untuk masuk ke pesawat. Perlahan-lahan kaki kamu melangkah pergi. Escalator yang bergerak menurun di hadapan nampaknya akan menjadi garis pemisah pemandangan kami dengan mereka di sana. Aku berdiri di paling belakang antara keluarga aku. Dan ketika mula menurun escalator itu, aku merupakan orang terakhir yang melihat saudara mara aku di sana. Perlahan-lahan escalator itu menurun memisahkan pandangan kami. Kami melambai pergi dan mereka di sana dengan penuh perasaan membalasa lambaian kami. Dan orang yang terakhir aku lihat ketika itu adalah nenek. Nenek masih menangis dan dipeluk dipujuk oleh makcik.
Ya . . .
Aku masih tidak pernah lupa peristiwa itu . . .
Setelah kami berada dalam pesawat, aku merasakan perasaan hiba lebih dirasakan daripada perasaan teruja pertama kali menaiki pesawat. Pada ketika itu, aku duduk di tepi tingkap pesawat. Aku cuma perhatikan sahaja tanah kelahiran aku itu perlahan-lahan semakin menjauh dan semakin kelihatan kecil. Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira 2 jam 45 minit.
Setelah selamat mendarat, aku mula mendengarkan loghat-loghat bahasa yang tidak pernah aku dengar sebelum ini di lapangan terbang itu. Hari sudah lewat malam, suasana di lapangan terbang itupun agak sunyi dan jarang dapat melihat orang yang lalu lalang di sana.
Kemudian, abah mendapatkan sebuah teksi untuk kami dan mula bergerak ke sebuah tempat baru bagi aku.
Kehadiran kami di sana disambut meriah dengan letusan-letusan bunga api yang banyak diletupkan ke langit malam. Kami datang tepat pada masanya. Malam itu rupa-rupanya merupakan malam tahun baru. Langit kelihatan cantik berwarna-warni, ianya sedikit menghiburkan aku dan pada masa yang sama sedikit melupakan kesedihan yang aku alami.
Sehinggalah kami tiba di sebuah hotel tempatan, Promenade Hotel . . .
Aku masih melihat ke langit malam melihat letusan demi letusan bunga api itu . . .
Aku menganggap setiap letusan itu ingin menyampaikan sesuatu kepada aku . . .
Aku menganggap setiap letusan itu ingin mengatakan . . .
" Selamat datang ke SABAH ! ! ! "
aku akan memulakan kehidupan baru aku di sini . . . ayuh teruskan !
No comments:
Post a Comment