Thursday, June 27, 2013

Umpama Permainan Catur ( episod 1 )

cause i am barely breathing . . .

Hear this while continue your reading.





Sejak beberapa hari ni, cuaca terasa amat panas sekali. Berbotol-botol air minuman aku habiskan setiap malam kerana sedikit-dehydration yang aku alami sekarang ni. Bibir pun jelas kelihatan pucat mengelupas akibat kekurangan air di siang hari. Cuaca yang panas ini aku fikir terhasil daripada pemerapan haba yang terjadi daripada kesan fenomena jerebu baru-baru ni.


Sehinggalah semalam, Alhamdulillah akhirnya Allah turunkan juga antara rahmatNya, hujan mula membersihkan langit. Dan pagi tadi, aku tiba-tiba tersenyum. Terasa seperti agak lama aku tidak melihat langit biru. Aku teringat masa tu. Ya, pada masa tu. . .


Semasa aku di bangku persekolahan dulu, sebelum pulang ke rumah, aku selalu akan singgah ke padang rumput itu dan baring melihat langit biru. Sambil aku berbaring di situ, di saat aku memandang jauh ke langit, aku akan memikirkan apa yang terjadi pada kehidupan aku selepas ini. Aku takut memikirkannya. Setiap kali aku memikirkannya, aku akan berasa sunyi. Aku membayangkan hidup aku keseorangan tanpa ditemani sesiapa. Sebab tu la aku begitu sayangkan zaman persekolahan aku dulu, sebab di sana bersama mereka sajalah yang membuatkan aku terasa tidak berseorangan. Sehinggalah aku terlena berseorangan di padang tengah hari itu. . .



siapa mereka ?



Sejak dari kecil, aku telah dididik pemikiran aku melalui apa yang aku alami mengikut persekitaran aku. . .


Masa tu aku baru masuk darjah dua. Aku masih tinggal di Kuala Lumpur. Hari tu, Ayah Uda datang melawat ke rumah. Dia turut membelikan sesuatu untuk kami serumah. Sesuatu yang baru bagi aku. Dan sesuatu yang amat mempengaruhi kehidupan aku. Sehingga sekarang.


sebuah set catur kayu feveret aku yang telah hilang masa form5 dulu


Ayah Uda membelikan sebuah set catur untuk kami. Aku pada masa tu amat teruja dengan benda baru tu. Oleh kerana aku kelihatan jelas begitu curious, kemudiannya Ayah Uda mengajar aku cara-cara untuk bermain benda baru tu. Oleh kerana minat yang teramat sangat, aku telah belajar cara-cara bermainnya dengan cepat sekali. Pada mulanya, aku sering dikalahkan Ayah Uda. Tetapi aku tidak pernah mengaku kalah. Sehinggalah pada hari-hari yang berikutnya Ayah Uda datang ke rumah, akhirnya aku berjaya mengalahkan Ayah Uda dengan permainan yang amat lama sekali. Aku berasa amat gembira sekali pada masa tu.


Tapi sekarang baru aku tahu. . .


Sebenarnya Ayah Uda sengaja membiarkan aku bermain lama begitu untuk membiarkan aku terus berfikir dan sentiasa berusaha. Dan apabila dia sengaja mengalahkan dirinya, dia tahu aku akan berasa lebih bersemangat lagi untuk meneruskan usaha aku untuk menajamkan lagi permainan aku.


Aku suka cara mendidik yang Ayah Uda gunakan. . .


Kemudian, aku sentiasa tak henti-henti mengasah permainan catur aku dengan bertanding antara kawan-kawan aku kat kawasan tempat tinggal aku dulu. Kadang-kadang kalau kat sekolah ada kawan yang bawa set catur, aku akan menawarkan diri untuk bermain dengan mereka. Tetapi kebanyakan perlawanan yang aku main, aku sentiasa dapat menewaskan mereka dengan mudah. Walaupun selalu menang, tetapi aku tetap tidak berpuas hati. Sebab aku sedar juga yang kawan-kawan aku itu semuapun masih baru mengenali permainan catur ini. Dan ada diantaranya pun adalah yang aku ajar sendiri bagaimana untuk bermain. Sehinggalah aku sekeluarga pulang ke Pekan, Pahang. Kampung aku.


Raya pada masa tu meriah sekali. Aku suka beraya di kampung. Suasana berkumpul sekeluarga besar di dalam serumah memang menyeronokkan. Buat kerja bersama, makan bersama, solat bersama, tidur bersama. Aku suka sangat dengan suasana begini.


Tengah hari tu, ketika abah berborak-borak dengan Tok Tam, abah memberitahu Tok Tam yang aku sangat minat dengan catur. Perkara ini mengejutkan Tok Tam. Kemudian, abah memanggil aku untuk naik ke atas cepat, sebab Tok Tam ingin mengatakan sesuatu kepada aku. Aku pada masa tu masih amat kecil, dan aku tidak selesa untuk pergi ke bilik ruang tamu pada waktu-waktu begitu kerana pada waktu-waktu begitu, selalunya the elders akan berkumpul bersama di ruang tamu dan membincangkan perkara-perkara yang jelas sekali amat tidak sesuai dengan pemahaman aku pada umur masa tu.


Apabila aku naik ke atas, di ruang tamu, the elders yang lain duduk menyandar di dinding mengelilingi bilik ruang tamu dan Tok Tam berada di tengah-tengah antara mereka yang mengeliling bilik itu. Aku berasa cemas sekali. Apa yang tiba-tiba Tok Tam nak sangat beritahu aku ni ? Aku ada buat salah ke dengan anak dia ? Pelbagai persoalan bermain-main dalam fikiran.


Kemudian aku duduk berlutut di depan Tok Tam dan the elders yang lain cuma melihat aku. Kemudian, Tok Tam bertanya akan aku samada aku minat dengan catur atau tidak. Apabila aku mengiyakan pertanyaan Tok Tam, kemudian Tok Tam mula menceritakan pengalaman Tok Tam dalam permainan catur ini.


Aku amat-amat-amat terkejut. Dan sedikit gembira mula terasa dalam hati. Aku mula rasakan yang aku akan melangkah ke tahap yang seterusnya, yakni tahap yang lebih tinggi daripada tahap yang aku berada sekarang. Aku betul-betul tak sangka yang Tok Tam merupakan pemegang gelaran juara kejohanan catur di universiti Tok Tam sepanjang pengajian Tok Tam di sana, iaitu di Universiti Malaya. 


Seperti yang aku harapkan, kemudian Tok Tam menawarkan dirinya untuk mengajarkan aku cara Tok Tam bermain catur. Tetapi pada masa tu, di rumah tiada set catur. Jadi, Tok Tam suruh carikan dulu sebuah set sebelum Tok Tam pulang keesokkan harinya. Aku begitu teruja sekali pada masa tu, kerana aku berpeluang belajar dengan seorang yang bernama juara.


Malamnya itu, selepas pulang dari beraya di rumah saudara mara yang lain, aku tiba-tiba teringat akan pesan Tok Tam untuk belikan sebuah set catur. Kemudian, aku terus minta abah bawakan aku ke pasaraya berdekatan untuk belikan satu. Tapi oleh kerana, Ayah Teh pada masa tu pun telah disuruh untuk ke pasaraya untuk membeli barang-barang dapur yang telah kekurangan, jadi aku pun tumpang sekaki ikut sekali ke pasaraya tu bersama Ayah Teh.


Akhirnya aku membeli sebuah set catur di situ. Sebuah set yang diperbuat daripada kayu. Cantik. . .



No comments:

Post a Comment