Sunday, November 10, 2013

I Just Smile


7.30 - 9.22



31 October lalu merupakan sebuah hari yang sangat mengubah sebahagian daripada kehidupanku. Hari yang aku selalu aku cuba anggapkan ianya hanya sebuah mimpi dan apabila aku tersedar daripada tidur panjang itu, mereka berkata kepadaku bahawa ianya semua hanya mainan tidurku saja.

Itulah yang aku cuba harapkan . . .

Tetapi, apa yang boleh aku lakukan, semua itu sememangnya benar-benar berlaku. Bukan di alam mimpi, tetapi telah berlaku di alam maya dan nyata ini.

Sehari sebelum tibanya hari itu, untuk sekian kalinya air mataku akhirnya mengalir jua semasa aku solat berjemaah Zohor di masjid Sembulan. Aku tak dapat tahan tangisan itu, dan akhirnya ianya mengalir membasahkan muka sehingga ke pangkal janggutku. Aku rasa lemah berhadapan dengan Allah kerana aku hanya seorang manusia biasa yang tak mampu lakukan apa-apapun tanpa izin daripadaNya. Aku sedar, tangisan itu dapat mengurangkan kesedihan aku pada waktu itu . . .

Aku cuba menguatkan diri ini untuk menerima hakikat yang telah berlaku . . .

Setelah kejadian itu berlalu, aku termenung seharian memikirkan kejadian itu dan aku terbayang apa yang akan berlaku pada masa seterusnya. Untuk sekian lama, baru kali inilah aku benar-benar merasakan sakit di hati ini. Sedih.

Sehinggalah tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi. Aku menyambutnya. Rupa-rupanya ianya panggilan daripada sahabat aku, Suhaidi. Dia mahu ke rumah aku dan mengajak aku keluar. Untuk beberapa ketika pada hari itu, barulah aku dapat tersenyum. "Ya, kau datanglah ke rumah sekarang. Aku bersiap-siap dulu."

Hatiku agak tenang sedikit selepas mendapat panggilan daripada sahabatku itu. Aku harapkan bahawa waktu yang akan aku luangkan bersama sahabatku itu akan mengurangkan dan lupakan terus kejadian yang menyedihkan siang tadi.

Sebab, aku percaya bahawa selepas hari hujan, Allah akan ciptakan pula pelangi buat siapa yang dikehendakiNya. Dan jika hari masih hujan sekalipun, aku percaya hanya seorang yang benar-benar baik sahaja yang akan datang membantuku berkongsi payung bersamanya mengharungi hari hujan itu bersama-sama. Kesimpulannya, hidup mesti diteruskan walau apa yang terjadi sekalipun.

20 minit kemudian, sebuah motorsikal datang memasuki pagar rumah aku. "Assalamualaikum!" Suhaidi memberi salam selepas membuka topi keledarnya. Aku menjawab salamnya dan terus turun memeluk kuat sahabatku itu. Sudak agak lama kami tidak berjumpa. Kelihatannya dia berada dalam keadaan sihat sahaja, malah badannya aku lihat sudah membesar daripada sebelumnya. Mungkin dia telah mula membina badan seperti yang dia pernah idamkan sebelum ini.

Dia mengajak aku ke Masjid Bandaraya untuk solat Isyak di sana, kerana waktu Isyak pun akan masuk tidak lama lagi. Bila aku teringat semula, sudah hampir 2 tahun aku tidak menaiki motorsikal. Aku memegang motorsikal itu sekuat-kuatnya kerana perutku terasa amat kecut ketika Suhaidi membelok. Ianya terasa seperti aku hampir terjatuh.

Setibanya di Masjid Bandaraya, aku terus terang dengan Suhaidi yang perutku terasa amat kecut walaupun aku sudah menjejakkan kaki di tanah. Dia cuma ketawakan aku dan kami terus berjalan masuk ke dalam untuk menunaikan solat berjemaah bersama jemaah-jemaah yang lain.

Isyak pada kali itu agak tenang aku rasakan . . .

Selepas selesai tunaikan solat Isyak, Suhaidi mengajak aku untuk mengisi perut di sebuah restoran di Kampung Likas. (sejak daripada itu, restoran itu sering menjadi tempat persinggahan kami untuk menjamah selera). Aku mengiyakan sahaja ajakannya sebab sudah 3 hari aku langsung tidak mengisi perut.

Semasa makan, Suhadi tahu bahawa aku sedang bersedih pada hari itu. Ianya agak mengejutkan aku, dan akhirnya aku berterus-terang dengan sahabatku itu atas apa yang telah berlaku selama ini. Aku teringat ketika sahabatku Zulkhairi menelefon aku suatu ketika dulu. Dia kata bahawa kepentingan manusia untuk berkata-kata meluahkan sesuatu kepada manusia lain adalah sama pentingnya dengan pentingnya manusia memerlukan air untuk hidup. Selepas aku ceritakan segalanya kepada Suhaidi, Alhamdulillah ianya benar-benar mengurangkan sedikit perasaan-muram aku pada hari itu.

Selepas selesai makan, Suhaidi mengajak aku untuk berjalan-jalan dengan motorsikalnya. Kami berjalan di sekitar Likas. Ketika jalan lengang tidak dilalui kenderaan-kenderaan lain, Suhaidi sengaja memecutkan kelajuan motorsikalnya. Ianya memang sangat mengecutkan perut aku, tetapi pada masa yang sama aku terasa amat seronok. Angin malam yang laju menampar mukaku seiring dengan kelajuan motorsikal itu semakin mengukirkan senyuman pada wajahku. Aku peluk Suhaidi erat-erat. Aku gembira.

suhaidi memecutkan motorsikalnya di sebuah jalan lengan

Aku tahu Suhaidi sengaja mahu menyibukkan aku supaya lupakan apa-apa yang menghibakan aku pada hari itu. Dia mahu mengajar aku menunggang motorsikal. Kami belajar di sebuah kawasan kosong di kawasan parking di Kompleks Sukan Likas. Sudah bertahun-tahun-tahun aku tidak menunggang motorsikal selepas kejadian yang tidak diingini dulu, akhirnya aku memberanikan diri untuk untuk mempelajarinya semula.

Pada mulanya, ianya agak tricky. Tetapi lama kelamaan aku dapat memahami selok belok motorsikal ini. Suhaidi terkejut dan kagum kerana aku cepat belajar.

Selepas haripun semakin lewat, sudah tiba masanya untuk kami pulang ke rumah. Setibanya di rumah, aku suruh Suhaidi untuk tunggu di luar sebentar. Aku teringat Mak ada membuat kek brownish lebih untuk tetamu semalam, dan ianya masih bulat tidak terusik. Aku segera potong sebahagian dan memberikannya kepada Suhaidi untuk menjamahnya ketika pulang ke rumah nanti.

Sebelum dia pergi, aku memeluknya sekali lagi, "Terima kasih Su sebab datang hari ini. Aku rasa seronok sangat dan sedihku tadi dah berkurangan. Terima kasih dan bawa motor pulang tu hati-hati okey ! Assalamualaikum."

Perlahan-lahan kelibat Suhaidi hilang daripada pandanganku . . .


p/s : aku pernah pesan kepada seorang sahabatku, "kalau ada kawan kita yang sedang bersedih, kita mesti tolong dia. pergi jumpa dia. tapi kalau tidak dapat sekalipun, at least SMS dia pun jadilah."

jika kita benar-benar menganggapnya sebagai seorang sahabat, jangan pernah meraguinya. kerana keraguaan itulah yang selalu memecah-mecahkan persaudaraan diantaranya. percayalah bahawa dia benar-benar sahabat kita.

* semalam semasa aku sedang bekerja, Zul menelefonku dan seperti selalu dia selalunya dapat mengagak aku berada di mana. agak menakutkan. dia saja bertanyakan khabar dan dia kata dia mahu menelefon aku beberapa hari lepas tapi dia sedang sibuk bersiap-sedia menghadapi mid-test. aku cakap tak mengapa. lain kali kalau mahu telefon, lakukan saja walau aku sedang sibuk sekalipun.

seperti biasa, ayat-ayat yang dia katakan sangat menggembirakan aku. aku rasakan hubungan kami amat istimewa, walaupun kami tinggal berjarak jauhnya, tetapi kami masih tetap berkomunikasi seperti biasa. aku bercadang selepas tamat pengajian aku bulan 4 nanti, aku mahu ke sana berjumpa dengan sahabat-sahabat aku yang berada di sana termasuk dia dan dia. insyaAllah. . .


Have a nice weekend :)

No comments:

Post a Comment